
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Khairul Annuar (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI diharap memainkan peranan penting dengan menjadi perantara antara kerajaan dan peringkat akar umbi dalam menjawab persoalan rakyat mengenai inisiatif kerajaan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata selain itu Komuniti MADANI juga perlu menjadi platform untuk menyampaikan maklumat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenai dasar-dasar kerajaan dan program-program yang dilaksanakan.

Fahmi mahu Komuniti MADANI memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat dan program kerajaan dalam gaya penyampaian yang mudah difahami warga tempatan.
“Saya juga berharap agar rakan-rakan dalam Komuniti MADANI dapat merancakkan aktiviti penyebaran maklumat kerajaan yang bersesuaian dengan gaya pemahaman warga tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Komuniti MADANI Parlimen Pulai, di sini semalam.

Program Sembang Santai Bersama Komuniti MADANI yang dihadiri oleh 30 orang ahli Komuniti MADANI dalam Parlimen Pulai.
Pada majlis yang sama, Fahmi turut menyampaikan watikah penubuhan kepada enam buah Komuniti MADANI dalam Parlimen Pulai.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.
-ZS-