
Laporan/foto: Norhazliza Mod Din/Mohd Nurulazmi Mazelan (Gua Musang)
GUA MUSANG, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diwujudkan sebagai satu usaha dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, pendidikan dan integrasi sosial orang kurang upaya (OKU).
Sejajar dengan matlamat kerajaan dalam memastikan komuniti ini tidak tercicir dalam bidang akademik mahupun kemahiran, Pejabat Penerangan Daerah Gua Musang telah mengadakan Program Santuni Pelatih OKU di PDK Chiku 3.

Penyampaian hadiah kepada pemenang
Program JIWA Madani yang diadakan semalam dihadiri seramai 60 orang termasuk pelatih dan ibu bapa pelajar OKU.
Menurut penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sharipah Yaacob, 46, amat mengalu-alukan program seumpama ini dan berterima kasih kepada pihak Pejabat Penerangan Gua Musang yang sudi menyantuni pelatih-pelatih di sini.
“Kerjasama begini membuktikan kerajaan prihatin dan komited dalam pembangunan OKU di negara ini dalam masa sama menyampaikan isu-isu semasa dan kempen kerajaan seperti Budi MADANI, penggunaan aplikasi Price Catcher dan isu semasa scammer,” katanya.
Menurut salah seorang bapa pelatih, Shawalul Masri, 45 berkata anaknya telah dihantar ke PDK semasa berusia 4 tahun dan kini sudah 4 tahun mengikuti latihan disini.
“Selepas mengikuti latihan di PDK, perkembangan positif dapat dilihat disebabkan pendekatan dan pergaulan berkat bimbingan tenaga pengajar yang mahir,” katanya.

Shawalul Masri bersama keluarga hadir menyertai pertandingan mewarna
“Saya sarankan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa untuk berdaftar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti berdekatan agar dapat menjalani program dan aktiviti pemulihan serta pendidikan yang dilaksanakan dalam komuniti.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menaikkan elaun sebanyak RM150 kepada pelatih PDK,” ujarnya.
Turut diadakan pertandingan mewarna keluarga dan demo bagi memuat naik perisian “Price Catcher” & “SpeedTest”.
Program dirasmikan oleh Pegawai Perangan Daerah Gua Musang, Pn Norhayati Shamsu Anuar.
-AA-