Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

JKKN, Majlis Kebudayaan Perak Bawa Temasya Budaya ke Teluk Intan Pada 27-30 Jun

By 20 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/JKKN Perak

Poster utama Temasya Budaya@Negeri Perak 2024.

TELUK INTAN, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Peminat aktiviti kesenian dan kebudayaan dijemput hadir bagi memeriahkan program Temasya Budaya@Negeri Perak yang akan berlangsung selama empat hari di Dataran Menara Condong, di sini bermula 27 Jun ini.

JKKN Perak dalam satu kenyataan semalam, berkata program temasya itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak dan Majlis Kebudayaan Perak dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Program ini bertujuan mengangkat kepelbagaian seni, budaya, warisan dan pelancongan yang terdapat di negeri ini dengan kepelbagaian etnik dan kaum meliputi budaya dan amalan tradisi.

“Beberapa program utama adalah Malam Kerohanian bersama Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias, persembahan hebat oleh artis dan kumpulan terkenal pada malam perasmian, Festival Homestay Perak, Klinik Seni Budaya dan Busana Run,” jelas JKKN Perak.

Timbalan Pengarah JKKN Perak Mohd Fairuz Selamat, berkata terdapat 10 pertandingan diadakan sepanjang tempoh temasya berlangsung dan penyertaannya terbuka kepada orang ramai yang berminat dan tidak terhad kepada warga Perak sahaja.

Artis Dayang Nurfaizah antara selebriti terkenal yang akan membuat persembahan pada malam perasmian pada 29 Jun nanti.

“Antara pertandingan tersebut adalah Pertandingan Tarian Dabus, Pertandingan Kebaya Cilik, Pertandingan Mewarna Keluarga, Pertandingan Srikandi Puteri Perak, Pertandingan Mobile Grafi dan Pertandingan Kolam,” ujarnya.

Tambah Mohd Fairuz, semua dijemput hadir untuk melihat kemeriahan dan keindahan budaya yang dipamerkan di temasya ini di samping merasai pengalaman yang unik dan menarik dalam mengenali pelbagai aspek seni dan budaya tempatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda