
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Kampung Kanchong di Rantau mencatat sejarah apabila dipilih sebagai sebagai Kampung Angkat MADANI pertama di Negeri Sembilan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata program ini merupakan satu inisiatif yang sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melengkapkan kemudahan asas di desa seperti air, elektrik, jalan dan capaian Internet.

Ucapan Pengerusi JPKK Kampung Kanchong Haji Shamsudin Khamis.
“Selaras dengan pendekatan ‘whole of society’ (seluruh masyarakat) yang seringkali ditekankan di peringkat kerajaan, program Kampung Angkat MADANI yang diterajui oleh Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan ini juga harus meletakkan kerjasama rentas kementerian sebagai pendekatan asas,” katanya.
Menurut Mohamad, Wisma Putra dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan swasta akan menganjurkan projek-projek yang berfokuskan kepada pembangunan bukan fizikal.
“Adalah diharapkan supaya projek-projek bukan fizikal ini akan mendatangkan impak yang lebih mampan dan memberikan kemaslahatan kepada penduduk setempat.
“Wisma Putra telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan sesi libat urus yang melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Daerah Seremban (PDTS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kanchong,” katanya.

Gimik perasmian mengecat dinding Balai Raya Kampung Kanchong.
Katanya lagi, penglibatan pelbagai pihak menunjukkan pendekatan program Kampung Angkat MADANI di Kampung Kanchong adalah bertunjangkan kepada satu sinergi komprehensif antara kementerian, agensi kerajaan dan pemegang taruh yang utama penduduk di Kampung Kanchong.
“Saya yakin pemilihan setiap satu projek ini telah diteliti dengan penuh berhemah dan saksama oleh semua pihak, baik pihak Wisma Putra, pihak agensi pelaksana mahupun pihak Kampung Kanchong sendiri.
“Dalam hal ini, perancangan setiap projek di bawah program Kampung Angkat MADANI ini haruslah bertunjangkan kepada impak yang signifikan, holistik dan secara terus kepada penduduk kampung,” katanya dekat sini semalam.
Mohamad turut menyempurnakan ibadah korban sebanyak tujuh ekor lembu dan menyampaikan sumbangan daging lembu korban kepada asnaf di sekitar kawasan Kampung Kanchong.
-ZS-