Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kawasan Pedalaman Bukan Halangan Laksana Tugas

By 4 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Walaupun perlu menghadapi kesukaran mengharungi jalan balak ianya sedikit pun tidak mematahkan semangat tiga pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bertemu masyarakat di Kampung Sokor, di sini.

Menurut Pegawai KWSP Tanah Merah Mawardi Risal Zulkiflee, 42, meskipun terletak 30 kilometer jauh ke kawasan pedalaman dan pelbagai rintangan perlu dilalui terutama merentasi jalan berbukit dan merentasi anak sungai, pegawai KWSP tetap komited dalam melaksanakan tanggungjawab untuk turun padang membuka kaunter bagi semakan dan pengeluaran wang daripada akaun pencarum.

Mawardi sedang menyampaikan taklimat Pengeluaran Wang KWSP.

“Sambutan masyarakat kampung yang sangat positif dan antara soalan yang menjadi bualan hangat yang diajukan oleh masyarakat setempat adalah melibatkan Akaun Fleksibel,” katanya di Program Jiwa Madani Daerah Tanah Merah di Dewan Orang Ramai Kampung Sokor, pagi tadi.

Tambahnya, pencarum perlu mengetahui bahawa KWSP telah distrukturkan semula meliputi tiga jenis akaun iaitu akaun 1 (Akaun Persaraan) Akaun 2 (Akaun Sejahtera) dan Akaun 3 (Akaun Fleksibel).

“Bermula 11 Mei lalu, pencarum diberi kebebasan untuk membuat pengeluaran di Akaun 3 pada bila-bila masa yang mana sebelum ini pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran di Akaun 2 bagi tujuan seperti pendidikan, kesihatan atau perumahan,” katanya.

Sementara itu ibu kepada tiga orang anak Izzati Noraini Muhamad, 36, berkata beliau datang bersama kawan untuk menyemak dan mengeluaran wang daripada akaun simpanan KWSP milik suami yang bertujuan untuk pendidikan anak dan membeli barangan keperluan.

Kaunter KWSP menjadi tumpuan para pengunjung.

“Apabila mendapat perkhabaran bahawa kaunter KWSP dibuka, saya terus datang untuk membuat semakan caruman suami yang bekerja di kilang.

“Sebelum ini, pengeluaran maksimum sebanyak RM10,000 telah dibuat untuk membaiki rumah,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah bersama Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Penduduk Kampung Sokor turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk berdekatan iaitu Kampung Ladang Sokor, Kampung Kuala Tiga, Kampung Kerilla dan Kampung Kampung Peralla.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Sokor Zaki Zakaria.

-ZS-

Tinggalkan komen anda