Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Komuniti MADANI : Platform Terbaik Hubungan Kerajaan dengan Rakyat

By 24 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Penubuhan Komuniti MADANI di seluruh negara oleh kerajaan di bawah kelolaan Jabatan Penerangan bertujuan menjadi medium penyampaian maklumat hingga ke peringkat akar umbi.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Jabatan Penerangan (JaPen) Erwin Khairul Ahmad, berkata Komuniti MADANI berperanan sebagai wadah dalam menyampaikan perancangan dan dasar kerajaan dalam usaha membangunkan negara.

“Selain perantara di antara kerajaan dan rakyat, Komuniti MADANI juga bertanggungjawab dalam menyampaikan permasalahan yang diutarakan oleh pihak rakyat terutama apabila rakyat sukar untuk mendapatkan bantuan seperti berhubung dengan pihak di JaPen berdekatan secara terus.

Tetamu yang hadir memeriahkan program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Tanah Merah.

“Oleh itu, Komuniti MADANI menjadi perantaraan dan boleh membantu menyampaikan sebarang pertanyaan atau perkara berbangkit kepada pihak atasan bagi pihak rakyat,” katanya.

Erwin berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Program Jiwa KomunIti MADANI Peringkat Parlimen Tanah Merah di SMK Ipoh Tanah Merah anjuran JaPen Negeri Kelantan bersama Komuniti MADANI Daerah Tanah Merah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Gual Ipoh Khairul Anuar Harun, berkata penubuhan Komuniti MADANI oleh kerajaan adalah tepat dan sesuai pada masa kini kerana komuniti ini berbentuk satu badan sukarela yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat selain mengeratkan silaturahim.

Antara reruai yang dibuka ketika program berlangsung.

“Setiap masalah yang dihadapi dan maklumat daripada rakyat yang dikumpul di lapangan akan disampaikan kepada pihak kerajaan dalam memastikan kehidupan rakyat akan terbela,” katanya.

Bagi Fatimah Che Amat, 63, dari Kampung Belimbing Bukit Panau, beliau datang bersama anak ke program pada hari ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara ahli komuniti serta ingin mengetahui isu-isu semasa yang disampaikan oleh kerajaan.

“Saya bersama anak datang dari jauh dan bersyukur program pada hari ini mendapat sambutan yang meriah serta berharap program sama akan sentiasa diadakan,” katanya.

Turut hadir Pengarah JaPen Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md.Nor dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Nor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda