Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Langkawi Swimming Festival Menjadi Acara Sukan Pilihan Perenang Tempatan dan Antarabangsa

By 4 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama syarikat Tough Gorilla Ventures menjalinkan kerjasama sekali lagi dalam penganjuran acara berprestij, Langkawi Swimming Festival (LSF) yang memasuki edisi kelima penganjurannya.

Antara peserta kanak-kanak yang menyertai acara Langkawi Swimming Festival pada tahun ini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 427 orang peserta termasuk pertambahan perenang-perenang antarabangsa dari 15 buah negara termasuk perenang tempatan.

“Seramai 97 orang peserta antarabangsa daripada pelbagai negara antaranya Filipina, Thailand, Singapura, Lubnan, Sepanyol, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Jepun dan juga Taiwan.

“Penyertaan ini adalah hasil usaha promosi berterusan LADA dan penganjur bagi memastikan LSF kekal menjadi acara ‘signature’ (pengiktirafan) tahunan dan menyumbang kepada industri pelancongan di Pulau Langkawi,” katanya.

Menurut Wan Kamarul Faisal lagi, LADA kekal komited mempelbagaikan pendekatan bagi membolehkan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan dapat memberi nilai positif kepada pembangunan Langkawi ke arah destinasi penganjuran acara sukan pelancongan utama di Malaysia.

Ayah kepada peserta Raziq Rizal iaitu Rizal Mohammad Suhaimi (kiri) berterima kasih kepada jurulatih dan jurulatih pengiring anaknya.

Salah seorang peserta yang ditemui, Mohd Fahmi Adnan, 36, dari Kuah, di sini berkata edisi kali ini merupakan penyertaan pertamanya.

“Saya berharap acara ini akan terus diadakan di samping promosi lebih besar bagi menarik lebih ramai peserta.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dan tahniah buat penganjur,” katanya.

Seorang remaja lelaki Raziq Rizal, 18, dari Ukay Perdana, Selangor yang mengalami masalah autisme turut menyertai LSF pada kali ini.

Menurut bapanya Rizal Mohammad Sohaimi, 47, ini adalah pengalaman pertama anaknya menyertai acara seperti ini.

“Kali pertama di Port Dickson sejauh satu kilometer dan pada kali ini adalah jarak sejauh dua kilometer.

“Acara ini sesuai dipromosikan untuk menggalakkan lagi penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memandangkan sukan renang adalah sukan yang ‘low-impact’ (rendah beban), meningkatkan ‘endurance’ (ketahanan) dan stamina serta meningkatkan fokus mereka,” katanya di Dataran Pantai Tanjung Rhu, kelmarin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda