
Laporan/foto: Safwan Saleh
TAMPIN, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Siri ke-3 7even Wonders Challenge Negeri Sembilan 2024 Peringkat Daerah Tampin di Gunung Tampin semalam mencatatkan jumlah penyertaan teramai program jelajah tersebut iaitu melebihi 2,500 orang peserta.

Tetamu kehormat bersedia untuk pelepasan peserta menunjukkan simbol sngks ‘7’ bagi menggambarkan 7even Wonders Challenge Negeri Sembilan 2024.
Ia melibatkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Negeri Sembilan dan negeri terdekat serta 1,500 orang pengakap NS Scout Urban Jamboree yang telah berkampung tiga hari di daerah ini.
Daerah Tampin terpilih sebagai lokasi ketiga setelah Gunung Angsi di Daerah Port Dickson dan Bukit Melati pada 27 April dan 1 Jun yang lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Haji Mustapha Nagoor, program ini dijalankan selama tujuh bulan yang meliputi tujuh daerah di Negeri Sembilan bermula dari Kuala Pilah dan berakhir di Daerah Rembau.

Sesi senamrobik bagi pemanasan badan sebelum acara sebenar dimulakan
“Tujuan utama adalah bagi membudayakan sukan dan riadah dalam kalangan rakyat di Negeri Sembilan.
“Program ini amat mendapat sambutan daripada rakyat kerana pendaftaran bagi siri seterusnya di Daerah Jempol telah penuh,” katanya.
Seorang peserta Zulfadli Ahmad, 43, berkata siri kali ini sangat mencabar untuk menghabiskan 10 kilometer pendakian pergi dan balik dari tempat pelepasan di Tampin Water Park.
Zulfadli bertekad menghabiskan kesemua empat siri 7even Wonders Challenge Negeri Sembilan 2024 ini bagi mendapatkan medal berbentuk peta Negeri Sembilan.
Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah Veraapan Superamaniam, ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar dan Pegawai Daerah Tampin Mohd Fadhil Hassan.
-ZS-