Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

‘Maghi Ccakak Base Tranung Kite’

By 26 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Haniff Adha (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Setiap negeri di Malaysia mempunyai bahasa kolokial iaitu bahasa percakapan atau bahasa basahan dalam pertuturan seharian masyarakat yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud ketika menyampaikan ucapan di Program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Maghi Ccakak Base Tranung Kite’, di sini semalam, berkata dialek Melayu Terengganu dikatakan sangat unik dan mempunyai perbezaan dari segi fonologi, sintaksis, morfologi dan leksikal yang berbeza dengan dialek Melayu standard.

Jabatan Arkib Negara turut membuka reruai dengan pelbagai pengisisan dan maklumat.

“Sebagai contoh, penggunaan fonem pada akhir perkataan, iaitu bunyi konsonan bagi perkataan yang berakhir dengan huruf ‘n’ dan digantikan dengan gabungan perkataan konsonan ‘ng’ telah menyerlahkan keistimewaan dan jati diri anak Terengganu.

“Bunyi yang terhasil dapat dilihat pada perkataan seperti ‘makang’ untuk makan, ‘pendidikang’ untuk pendidikan, ‘akaung’ untuk akaun, ‘alirang’ untuk aliran, ‘badang’ untuk badan, ‘jangang’ untuk jangan dan sebagainya.

“Menariknya lagi di negeri ini dialek ini bukan sahaja dituturkan oleh masyarakat berbangsa Melayu malah kaum Cina dan India turut menuturkannya tanpa kedengaran bunyi pelat.

“Dialek Terengganu ini diakui mempunyai ciri dan nilai keunikan dan perbezaan yang tersendiri sekiranya dibandingkan dengan dialek Melayu standard dan lain-lain dialek di Malaysia,” katanya.

Kira-kira lebih 200 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan awam daripada pelbagai agensi di negeri ini hadir di program ini.

Ketika sesi temu bual bersama rakan media beliau, berkata Terengganu merupakan negeri kelapan bagi Program Jelajah Bicara Bahasa Kolokial oleh Arkib Negara Malaysia dalam usaha untuk mendokumentasi dan merekod bahasa-bahasa kolokial yang terdapat di negara ini sebagai pengekalan dan pelestarian khazanah warisan tempatan untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang dan sekali gus mengeratkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini melalui penggunaan bahasa.

“Seterusnya, Program Jelajah Bicara Bahasa Kolokial ini akan ke Negeri Sembilan, Johor dan Melaka dan kemuncaknya adalah Konvensyen Bahasa Kolokial Kebangsaan dijangka akan dilaksanakan pada Oktober ini,” katanya.

Antara tokoh pembicara jemputan ialah Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Komunikasi Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu Dr. Mazlina Ahmad, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail Che Mansor Che Tom dan Sasterawan Terengganu Tuan Sharif Tuan Putera.

Kira-kira lebih 200 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan awam daripada pelbagai agensi di negeri ini hadiri.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pengembangan) Arkib Negara Mokhtaruddin Lamsin dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Terengganu Raabiatul Adawiyah Mat Tari.

-ZS-

Tinggalkan komen anda