
Laporan/foto: Azza Aziz/BERNAMA
PUTRAJAYA, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 (HKHM 2024), YB Fahmi Fadzil mengumumkan logo dan tema bagi sambutan HKHM 2024 mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya dengan tema baharu iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap mengumumkan logo dan tema HKHM 2024
“Malaysia MADANI merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.
“Jiwa Merdeka pula menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif. Tema ini turut menginterpretasikan semangat patriotik meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di Putrajaya, semalam.
Selain sambutan HKHM 2024, aktiviti kibar Jalur Gemilang turut disemarakkan melalui Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menterjemahkan semangat patriotik dalam diri dan ahli keluarga.
“Hiasilah rumah dengan bendera yang menjadi identiti kita di seluruh pelosok dunia. Namun kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Maklumat lanjut berkaitan logo, tema, muat turun kompilasi lagu patriotik dan program Bulan Kebangsaan 2024 boleh dirujuk melalui portal rasmi www.merdeka360.my.

Logo dan tema HKHM 2024
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, YBrs. Puan Julina Johan.
-AA-