Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pameran Pelbagai Agensi Meriahkan Karnival JIWA Komuniti Madani Parlimen Merbok

By 3 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zurina Saad/Mahazir Abu Hassan (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Orang ramai tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu untuk berkunjung ke reruai pameran agensi sempena Karnival Komuniti Madani Parlimen Merbok semalam yang diadakan di Padang Awam Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Karnival kali ini menghimpunkan lebih sepuluh agensi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan khususnya kepada golongan sasar B40.

Pertandingan mewarna kanak-kanak bawah umur 10 tahun turut diadakan.

Antara agensi yang mengambil bahagian adalah Pejabat Kesihatan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam), Tabung Haji, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perhilitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UOB Bank.

Penolong Pengarah Penerangan Negeri Kedah Mohd Nabil Halim, berterima kasih kepada semua agensi yang mengambil bahagian kerana mampu memberikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat tanpa perlu beratur panjang dan menunggu giliran seperti kebiasaannya.

Salah seorang pengunjung Hashim Abdullah, 65, berkata program ini sangat bermanfaat kepada rakyat yang sukar berurusan di kaunter atas kekangan kesihatan dan sebagainya.

“Namun, dengan adanya agensi yang turun padan membolehkan urusan diselesaikan secara mudah,” katanya.

Program Jualan Rahmah FAMA Sungai Petani.

Pelbagai manfaat diterima oleh orang ramai seperti pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan JKM, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), tuntutan penyakit kritikal MySalam, bayaran saman di kaunter Trafik PDRM, pindahan Skim Fleksibel di kaunter KWSP dan pemeriksaan kesihatan serta Program Jualan Rahmah.

Selain itu juga karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, sepak penalti, bola jaring, tiup belon, bola beracun, cari harta karun dan tidak ketinggalan acara cabutan bertuah yang melibatkan enam Komuniti Madani Parlimen Merbok.

-ZS-

Tinggalkan komen anda