Laporan/foto: Muhammad Al Tarmizi Azmi/Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 28 JUN (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya telah berjaya menganjurkan program pendidikan penting bertajuk Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, di sini kelmarin.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Tinggi dengan kolaborasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor itu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai proses pilihan raya secara teori dan praktikal.
Pengetua SMK Lokman Hakim Zool Hilman Haironi, 49, berkata program ini penting bagi memberi pendidikan dan penerangan kepada pelajar-pelajar tentang amalan demokrasi di negara ini.
“Saya berharap program ini dapat meningkatkan kefahaman serta pendedahan kepada para pelajar SMK Lokman Hakim berkenaan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia khususnya Undi 18, menjelaskan kepentingan keluar mengundi dalam sistem demokrasi di Malaysia serta memberi peluang kepada mereka merasai suasana sebenar pilihan raya melalui praktikal yang akan dijalankan,”ujarnya.
Seramai lebih 70 pelajar didedahkan proses penamaan calon dengan tiga orang calon telah dipilih untuk bertanding, disusuli dengan suasana berkempen di mana calon-calon menerangkan menifesto mereka, seterusnya proses pengundian dan penjumlahan undi.
Turut hadir Timbalan Pengarah SPR Negeri Johor Mohammad Zaidad Abdul Samad dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi Nasharuddin Mohd Shah.
-ZS-