
Laporan/foto: Azhar Mat Isa/Tamarriman Zaharuddin (Muallim)
TANJONG MALIM, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan bergerak dari pelbagai jabatan dan agensi sempena Program Komuniti Madani dan Kaunter2U di Balai Lintang Muallim Tanjong Malim, di sini kelmarin.

Kaunter bergerak dari Jabatan Pengangkutan Jalan menawarkan perkhidmatan semakan dan bayaran saman
Program anjuran Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) bersama Komuniti Madani Tanjong Malim itu dianjurkan bagi memudahkan urusan orang awam yang mempunyai komitmen dan kekangan masa untuk menyelesaikan urusan mereka terutama ketika waktu bekerja.
Pengunjung Syahida Mat Zin, 41, berkata perkhidmatan yang ditawarkan sangat memberi manfaat kepada rakyat.
“Program ini perlu diperluaskan lagi terutama di kawasan luar bandar bagi memudahkan urusan orang awam terutama golongan warga emas yang sukar bergerak ke pekan untuk berurusan,” ujarnya.

Demonstrasi penangkapan ular oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Sebanyak 23 kaunter dan pameran telah dibuka untuk kemudahan orang awam antaranya pameran dari Jabatan Pelancongan dan Rekreasi, selain itu MDTM turut mempromosikan lokasi serta aktiviti menarik di daerah Permata Negeri Perak itu dalam memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024.
Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjong Malim Aliff Ashraf dan Setiausaha MDTM Roslan Kamaruzaman.
-AA-