Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

RM474.55 juta Peruntukan, Sabah Fokus Menjulang Sektor Pendidikan

By 26 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)

TAWAU, 26 Jun (Malaysiaktif) – Kerajaan Sabah sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan pendidikan serta isu berkaitan demi memastikan pembangunan ilmu anak bangsa terus diberikan perhatian.

Demi menjulang permata negara itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet yang besar iaitu sebanyak RM474.55 juta sebagai tanda keprihatinan akan kebajikan rakyat dengan sentiasa memberikan yang terbaik bagi meningkatkan tahap pendidikan negeri ini.

2. Nizam menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata peruntukan itu sebagai komitmen memperkukuhkan pembangunan modal insan termasuk pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah.

“Kerajaan negeri juga amat komited dan telah merangka pelbagai program dan memperkasakan inisiatif-inisiatif sedia ada demi memastikan setiap anak-anak mempunyai akses kepada pendidikan demi kecemerlangan pendidikan di negeri ini, termasuklah memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekan kepentingan modal insan,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (Mapens) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Ming pada Selasa.

Suasana sekitar majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (Mapens) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Ming, Tawau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pendidik atas kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan lonjakan yang amat memberangsangkan.

“Pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2023 lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun lepas dengan nilai GPN 5.09 mata pada 2023 berbanding 5.22 mata pada tahun 2022, perbezaan 0.13 mata.

“Saya berharap dengan kerja bersungguh-sungguh dan penuh komitmen semua guru, dapat meneruskan legasi kecemerlangan pendidikan negeri Sabah,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda