Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

‘Saya Anak Malaysia’ Bangkit Semangat Patriotisme Pelajar

By 26 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 26 Jun (Malaysiaktif) – Semarak Patriotik ‘Saya Anak Malaysia’ yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay mampu membangkitkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan anak muda.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) tersebut sangat relevan bagi memastikan penduduk di Pulau Sebatik khususnya para pelajar didedahkan dengan maklumat serta pengetahuan berkaitan aspek kenegaraan.

Pelajar diberikan taklimat berkaitan pengisian program.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Majlis Keselamatan Negara Badrul Shah Mohd Idris, berkata penganjuran program ini juga adalah bertujuan untuk menyegarkan nilai patriotik, jati diri dan memastikan semangat patriotik cintakan negara sentiasa tertanam dalam minda masyarakat.

“Pengisian utama program termasuklah penyerahan bendera Jalur Gemilang, di samping diisi dengan ceramah dan taklimat, pelajar-pelajar turut didedahkan dengan pameran aset-aset keselamatan dan perkhidmatan yang dipamerkan di ruangan pameran yang disediakan.

β€œPelajar-pelajar boleh mempelajari sesuatu yang baharu serta berpeluang secara langsung untuk melihat dan bertanya secara lebih dekat dalam mendapatkan informasi berkaitan aset-aset keselamatan dan perkhidmatan yang dipamerkan,” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Patriotik ‘Saya Anak Malaysia’, di sini pada Isnin.

Sekitar suasana program tersebut.

Dalam pada itu, mengulas tentang tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Badrul menekankan bahawa tema tersebut memberi pengertian meluas yang perlu difahami serta dihayati oleh setiap pelajar.

“Maksud tersirat di sebalik tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Malaysia (HKHM) 2024, MADANI – Jiwa Merdeka pula dipilih sebagai tema sambutan HKHM 2024. ‘Malaysia MADANI’ tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

“Sementara ‘Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” ujarnya.

Lebih 290 peserta dalam kalangan pelajar, guru serta rakan strategik pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam program tersebut.

Antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda