
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)
LANGKAP, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sagor gembira dan teruja apabila berpeluang ‘mengundi’ dalam Program Simulasi Pilihan Raya JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku yang berlangsung di dewan sekolah, di sini kelmarin.
Program simulasi ini merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan (JaPen) dan Pejabat Pilihan Raya Negeri yang dilaksanakan di peringkat sekolah bertujuan untuk memberi penjelasan dan pemahaman lanjut berkenaan proses pilihan raya di Malaysia.

‘Petugas’ pilihan raya menunjukkan kertas undi yang telah dipangkah.
Menurut Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPen Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, SMK Dato’ Sagor antara 65 buah sekolah di Perak yang terpilih dan menjadi lokasi kedua penganjuran program simulasi tersebut selepas pelaksanaan kali pertama di Taiping.
“Kelab Malaysiaku memainkan peranan penting untuk memberi pendedahan dan kesedaran awal terhadap tanggungjawab sebagai pengundi.
“Program hari ini memberi peluang kepada pelajar untuk merasai suasana pilihan raya selain dapat mengikuti proses membuang undi bagi memilih calon pilihan mereka,” katanya ketika ditemu bual.
Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Sagor Zubir Abu Hanifah, berkata pendekatan ini merupakan satu usaha yang sangat baik dalam menyediakan modal insan negara kerana golongan pelajar ini adalah generasi pelapis yang bakal memimpin dan membangunkan negara pada masa akan datang.

Tiga calon bertanding bergambar sebelum sesi penamaan calon berlangsung.
“Saya turut berbangga apabila sekolah ini dipilih kerana ia amat bertepatan dengan konsep perpaduan memandangkan sekolah ini mempunyai pelajar pelbagai kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli,” ujarnya.
Bagi calon Parti Lilin Nurul Iman Syafiqah Hazli, 16, perasaan gementar dan teruja begitu dirasai terutama apabila dia diumumkan sebagai pemenang bagi pilihan raya tersebut.
“Penglibatan pelajar dalam program sebegini memberi ruang kepada kami untuk memahami dengan lebih lanjut tentang pilihan raya sesuai dengan silibus yang terkandung dalam Bab 8 bagi mata pelajaran Sejarah Tingkatan Empat,” tambahnya.
Peserta Rico Ng, 16, pula berpendapat program simulasi ini perlu diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada rakan-rakan lain untuk turut serta.
“Saya sangat seronok dapat melihat bagaimana proses pilihan raya dijalankan di samping mengetahui peranan setiap petugas yang terlibat,” katanya.
-ZS-