Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Subsidi Diesel : KPDN KL Mempertingkat Pemeriksaan dan Rondaan

By 12 Jun 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)/KPDN Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur telah melaksanakan rondaan dan pemeriksaan ke atas 62 buah premis stesen minyak sekitar ibu negara bermula Ahad lalu.

Pemeriksaan dijalankan berikutan perubahan harga diesel tanpa subsidi pada harga RM3.35 seliter di setiap stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Pemeriksaan dijalankan berikutan perubahan harga diesel tanpa subsidi pada harga RM3.35 seliter di setiap stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia yang telah berkuat kuasa mulai 10 Jun lalu.

Pengarahnya Ariffin Samsudin semalam memaklumkan bahawa seramai 35 pegawai dan anggota penguatkuasa telah ditugaskan untuk membuat rondaan serta pemeriksaan di setiap premis stesen minyak sekitar Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan stesen-stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum jam 12 tengah malam pada 10 Jun 2024.

“Pada 9 dan 10 Jun, KPDN Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan terhadap 62 stesen minyak dan tidak menemui sebarang aktivti yang mencurigakan. Stok semasa bekalan diesel juga mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya ‘stockout’ (kehabisan stok).

Menurutnya lagi, pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman perubahan harga berdasarkan harga semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama yang penuh dari semasa ke semasa kepada pihak kerajaan.

Harga terbaru bagi diesel dipamerkan iaitu RM3.35 seliter selepas pukul 12.00 tengah malam pada 10 Jun lalu.

“Bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan termaktub di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa di bawahnya selain siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Pada masa yang sama, KPDN Kuala Lumpur juga akan melaksanakan penguatkuasaan di bawah Ops Kesan 2.0 bagi memastikan elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan tidak berlaku dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di mana-mana premis stesen minyak,” katanya.

Ariffin Samsudin, berkata KPDN Kuala Lumpur turut memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan manipulasi harga serta caj perkhidmatan yang menyumbang kepada isu pencatutan berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Orang awam disarankan untuk membuat sebarang aduan mengenai caj, harga dan bekalan melalui saluran aduan khas di talian 012-6654292 selain aplikasi WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat talian 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

-ZS-

Tinggalkan komen anda