Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Tanggungjawab Semua Masyarakat Tangani Kebejatan Sosial

By 25 Jun 20245 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)

TAWAU, 25 Jun (Malaysiaktif) – Setiap kelompok masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan usia perlu dilibatkan dalam usaha menangani kebejatan sosial sekali gus membentuk kawasan kejiranan yang kondusif.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata adalah satu kewajipan penduduk memastikan taman perumahan bebas daripada sebarang sampah sarap mahupun aktiviti tidak bermoral.

“Dinasihatkan agar penduduk di sini memastikan kebersihan taman perumahan ini daripada sebarang sampah sarap mahupun sampah masyarakat agar terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti masalah-masalah sosial yang tidak terkawal, gejala penyalahgunaan dadah atau syabu.

“Kita juga akan memastikan bahawa semua yang tinggal di sini merupakan warganegara yang benar-benar sihat dan bertanggungjawab serta dihindari daripada perkara-perkara negatif,” katanya semasa Majlis Perasmian Program Sambutan Aidiladha bersama 480 keluarga di Taman PPR Sri Titingan pada Ahad.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Nizam memohon agar penduduk sentiasa bersatu hati dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak yang ingin memecahbelahkan perpaduan di Taman PPR tersebut.

“Saya berharap agar Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dapat berbincang dengan pemaju di Taman PPR ini untuk melibatkan penduduk-penduduk dalam setiap program gotong-royong yang mungkin boleh dibuat setiap dua bulan.

“Ini bagi menyedarkan penduduk bahawa kita tinggal berdekatan dengan bandar dan perlu memastikan taman perumahan rakyat ini berada di dalam keadaannya teratur, sempurna, indah dan cantik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, Aidiladha yang disambut oleh umat Islam bukan sekadar perayaan sebaliknya hari untuk menghayati nilai-nilai pengorbanan, ketaatan, kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah.

“Saya amat gembira kerana majlis Aidiladha yang dianjurkan di sini mendapat sambutan yang begitu meriah dan ia membuktikan bahawa mereka hidup dalam keadaan yang berpadu, bersatu dan lebih penting menyokong segala agenda serta program kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda