
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/JKKN Perak
TELUK INTAN, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Orang ramai termasuk golongan muda membanjiri pekarangan bangunan warisan terkenal Menara Condong untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh pendakwah bebas Dato’ Ustaz Kazim Elias, di sini malam tadi.
Ceramah Malam Kerohanian bertajuk ‘Hijrah Minda, Hijrah Budaya’ itu dianjurkan sempena Temasya Budaya@Negeri Perak 2024 (TBP2024) yang berkampung selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
Pengunjung Linna Hajeli, 21, meluahkan rasa teruja menjadi salah seorang penonton yang hadir untuk mendengar sesi ceramah tersebut.
“Saya turut terinspirasi dengan perkongsian Ustaz Kazim kerana ceramah beliau mengingatkan betapa pentingnya kita generasi hari ini untuk memelihara dan menghargai warisan budaya serta agama dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Bagi Muhammad Afiq Aiman, 18, dia sendiri menantikan peluang keemasan ini untuk bertemu dengan idolanya, Ustaz Kazim.
“Saya memang minat dengan ceramah agama apatah lagi sekarang media sosial menjadi platform mudah untuk kita ikuti ceramah terutama di aplikasi TikTok.
“Jadi apabila saya dapat tahu Ustaz Kazim akan datang ke sini, saya memasang niat untuk bertemu dan bersalam dengannya,” katanya.
Terdahulu, pada sebelah siang, kawasan menara digegarkan dengan persembahan peserta bagi Pertandingan Silat Seni serta persembahan seni mempertahankan diri wusyu dan silambam.
-ZS-