Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tiada Kompromi Banteras Jenayah

By 4 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Pihak kerajaan melalui anggota polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerjasama antara semua pihak sangat diperlukan demi menyokong keamanan dan keselamatan di negara ini.

Ketibaan Zahid di Majlis Perasmian Pengoperasian IPD Bagan Datuk

“Rakyat terutama pemimpin tempatan diseru agar memberi sokongan penuh kepada pihak polis dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP),” katanya ketika melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini kelmarin.

Beliau juga berharap dengan kewujudan IPD Bagan Datuk akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di daerah Bagan Datuk seterusnya menjadikan daerah ini sebagai kawasan yang kekal aman dan bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pewujudan IPD Bagan Datuk yang merupakan IPD ke-16 di negeri Perak ternyata berkesan dalam menurunkan kadar jenayah di daerah Bagan Datuk.

Mohd Yusri menyantuni barisan anggota polis

“Perjalanan operasi IPD Bagan Datuk telah bermula secara tidak rasmi sejak 16 Mac 2024 dengan kekuatan anggota seramai 280 orang dan Balai Polis Hutan Melintang telah dipilih sebagai pusat operasi sementara menunggu siapnya pembinaan Kompleks IPD Bagan Datuk,” ujarnya.

Hadir sama ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua komuniti daerah Bagan Datuk.

-AA-

Tinggalkan komen anda