Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tolong Jaga Tepi Kain Orang Lain – Wasanthee

By 15 Jun 2024Jun 19th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Arul Perumal (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 15 Jun (Malaysiaaktif) – “Tolong jaga tepi kain orang lain,” demikian pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, ketika berucap sempena Taklimat Isu Semasa Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) Tahun 2024 di Pusat Khidmat ADUN Hutan Melintang, di sini kelmarin.

Inspektor Al Ikhsan ketika menyampaikan taklimat.

Menurutnya, maksud peribahasa tersebut menggambarkan satu perbuatan yang tidak disukai tetapi dalam konteks zaman kini sikap mengambil tahu keadaan orang lain sangat diperlukan kerana mampu mengelak kejadian tidak diingini.

“Sebagai warganegara Malaysia yang hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, sikap mengambil berat antara satu sama lain terutama terhadap jiran tetangga akan mewujudkan suasana harmoni dan semangat bersatu padu,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah dan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk, Inspektor Al Ikhsan Borhan juga sependapat bahawa orang awam turut mempunyai peranan dalam membanteras aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

“Ini boleh dilaksanakan dengan mengambil tahu siapakah yang tinggal atau menyewa berdekatan dengan kita dan mengetahui aktiviti yang sedang berlaku di sekeliling kita.

“Terdapat situasi yang mana ada orang tidak menyedari bahawa rumah kediaman yang disewakan telah menjadi rumah persinggahan bagi aktiviti jenayah pemerdagangan dan penyeludupan manusia,” katanya.

Wakil Komuniti MADANI daerah Bagan Datuk turut serta dalam taklimat ini.

Tambahnya, jika berlaku situasi itu pemilik kediaman akan disiasat kerana disyaki bersubahat dan mungkin ditahan di bawah perintah tahanan reman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Polis seterusnya akan membuka siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang yang membawa kepada hukuman denda dan penjara tidak lebih dari 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

-ZS-

Tinggalkan komen anda