
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Hospital Teluk Intan
TELUK INTAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Bank OCBC dengan kerjasama Kelab Rotary Teluk Intan (RCTI) menyerahkan dua mesin Otoacoustic Emission (OAE) kepada Unit Audiologi Hospital Teluk Intan (HTI), di sini kelmarin.

- Dr. Noor Azira bersama Presiden RCTI (kiri).
Majlis penyerahan disampaikan oleh Senior Manager Bank OCBC Alex Low dan Presiden RCTI Tan Aik Kian.
“Sumbangan dua mesin OAE yang bernilai RM40 ribu ini diharap akan memberi manfaat kepada 4,200 orang bayi yang dijangka akan dilahirkan pada setiap tahun di HTI,” jelas Alex Low ketika berucap.
Menurut Timbalan Pengarah Perubatan 1 Dr. Noor Azira Harun, mesin OAE ini digunakan sempena program saringan pendengaran bayi yang akan dijalankan pada setiap hari di wad pediatrik serta obstetrik dan ginekologi (O&G).

Penyampaian plak serta sijil penghargaan daripada HTI kepada Bank OCBC dan RCTI.
“Program saringan pendengaran ini bertujuan mengesan permasalahan awal pendengaran di kalangan bayi baru lahir bertepatan dengan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu memperkasakan program saringan kesihatan agar intervensi awal dapat dilakukan dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.
Beliau juga berharap dengan adanya peralatan baru ini bukan sahaja akan memperkasakan lagi program di HTI malah memberi manfaat kepada semua penduduk sekitar daerah Hilir Perak.
-ZS-