
Laporan/foto: Sufian Kamaruddin/Anuar Che Amat
KANGAR, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Sindiket penipuan atau ‘scammer’ di Malaysia dilihat semakin berleluasa dan menyebabkan ramai menjadi mangsa.
Penjenayah ‘scammer’ di negara ini semakin bijak dan kreatif dalam menipu mangsa.
“Taktik terkini, Polis Diraja Malaysia mengesan modus operandi baharu penipuan secara dalam talian itu menggunakan kad jemputan majlis perkahwinan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perlis Supritendan Wan Aeidil Wan Abdullah dalam program JIWA MADANI bertempat di Tff Café Kangar, semalam.
Katanya, penjenayah menghantar link dan mengajak orang ramai hadir kenduri kahwin dengan meminta mereka memuat turun fail aplikasi yang sebenarnya mengandungi ‘malware’ (perisian hasad).
“Dengan memasang aplikasi tersebut, ‘scammer’ berkenaan akan mendapat akses penuh terhadap telefon pintar mangsa dan mencuri data mereka.
“Apatah lagi kad jemputan kahwin digital kini semakin popular menyebabkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana teruja dengan undangan berkenaan” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa ada perasaan syak wasangka atau tidak mudah percaya terhadap mana-mana panggilan yang mencurigakan, tidak mendedahkan apa-apa maklumat peribadi dan perbankan kepada sesiapa di dalam telefon.
“Orang ramai juga diingatkan jangan sesekali membuat transaksi wang kepada sesiapa yang tidak dikenali.
‘Jangan sesekali menyerahkan akaun bank sendiri kepada sesiapa bagi tujuan menyalahi undang-undang,” katanya.
-ZS-