
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih dua juta ringgit kerugian dicatatkan di Perlis akibat dari 182 kes penipuan atas talian (scammer) setakat pertengahan tahun ini.
Menurut Inspektor Norazhan Mohamad Marzuki dari Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, golongan pekerja swasta yang kebanyakan terdiri dari pelbagai lapisan atasan dan bawahan termasuklah sektor perkilangan, pentadbiran dan perkhidmatan serta peniaga mencatat 42 peratus yang menjadi mangsa penipuan (scammer) di atas talian di negeri Perlis.

Insp Norazhan Mohamad Marzuki menyampaikan risalah Pencegahan Jenayah kepada para pengunjung yang hadir
Norazhan telah menyampaikan ceramah mengenai penipuan atas talian di Program High Profile Policing, sempena Program Jualan Agro Madani Mega di Dataran Lapang bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, hari ini.
“15 peratus kes penipuan scammer turut melibatkan golongan belia yang terdiri dari para remaja atau golongan pelajar di negeri Perlis, enam peratus pula terdiri dari warga pendidik dan sembilan peratus lagi kes datangnya dari beberapa golongan penjawat awam,” ujarnya.
Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perlis menyeru orang ramai supaya berhati hati apabila menerima panggilan dari individu yang tidak dikenali atau menyemak dahulu panggilan atau tawaran yang diterima berikutan kes penipuan melalui panggilan ini merupakan kes penipuan atas talian tertinggi dicatatkan di negeri Perlis.
Tambah Norazhan, aktiviti scammer di dalam platform e-belian di Perlis mencatat 58 kes iaitu kes penipuan kedua tertinggi dengan kerugian hampir tiga ratus ribu ringgit di Perlis setakat pertengahan tahun ini.
-AA-