
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Japen Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 140 orang ahli Kelab Malaysiaku Daerah Kuala Pilah bersama guru-guru penyelaras menghadiri Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hua, di sini, kelmarin.

Pelajar sedang membuang undi seperti pilihan raya sebenar
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah, Shaharuddin Daud, program ini adalah kerjasama Pejabat Penerangan bersama Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah yang bertujuan mendedahkan para pelajar tentang kepentingan mengundi dan memahami sistem Raja Berperlembagaan bagi memastikan negara bergerak aman dan progresif.
“Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan turut mengadakan simulasi pilihan raya bagi memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman membuang undi seperti pilihan raya sebenar. Peralatan yang digunakan oleh pihak SPR bagi simulasi itu adalah sepertimana yang biasa digunakan ketika pilihan raya,” katanya.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh, SMK Senaling, SMK Tuanku Muhammad, SMK Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Za’ba, SMK Tunku Besar Burhanuddin, SMK Dato’ Abdul Samad dan rakan strategik SMJK Chung Hua.
Sementara itu, Muhammad Amanudin Aman, 17, pelajar daripada SMK Juasseh memberitahu ini merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti program sebegini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan, Mohd Sharil Bahari Bahari menyampaikan ceramah berkaitan Kepentingan Mengundi dan Pilihan Raya di Malaysia
“Saya dapat mengetahui bagaimana sebenarnya pengurusan pilihan raya dijalankan dan berpeluang menjadi petugas dalam simulasi pusat pengundi serta pentingnya memelihara sistem demokrasi berparlimen Raja Berperlembagaan negara kita,” katanya.
-AA-