Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

AHT Perkukuh dan Perluas Keunikan Kebudayaan ASEAN

By 24 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) menganjurkan Program ASEAN Heritage Train – Enhancing Connectivity Towards Cultural Diversity (AHT) yang menghimpunkan penggiat seni dari negara ASEAN dalam usaha menggalakkan semangat dan keharmonian serantau di samping memperkukuh pertukaran budaya.

Program yang berlangsung mulai 9 hingga 26 Julai itu menyaksikan para peserta AHT merentasi tiga negara ASEAN iaitu Lao PDR, Thailand dan Malaysia dengan menggunakan keretapi sebagai medium pengangkutan utama.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, kejayaan program itu akan menjadi satu penanda aras yang cukup baik untuk ianya diperluaskan lagi supaya semangat ASEAN dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu melihat bahawa ASEAN ini diperkuatkan dari sudut kebudayaan. Itu sebabnya kita lakukan program ini supaya sewaktu dalam perjalanan kereta api itu banyak inti pati yang telah kita sediakan.

“Ini adalah salah satu program telah dilaksanakan pada tahun ini dan pada tahun depan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, banyak lagi program-progam akan dilaksanakan bagi menerapkan semangat ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN di Lobi Utama KL Sentral, di sini semalam.

Penganjuran AHT selama 18 hari itu melibatkan 40 delegasi dari 10 negara ASEAN terdiri daripada artis budaya, pendemo kraftangan dan chef kulinari tradisional.

Sepanjang perjalanan dalam keretapi itu, para peserta terlibat dalam pelbagai pengisian aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, pameran, bengkel, demonstrasi kraf dan masakan tradisi.

Sementara itu, Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN yang bertemakan ‘Dendam Tak Sudah’ mengetengahkan 23 hiasan kepala mewakili negara-negara ASEAN termasuk Malaysia dibuka kepada orang ramai selama tiga hari mulai 22 hingga hari ini.

Tinggalkan komen anda