Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Anak Muda Harapan Terakhir Legasi Penenun Beyangkis Kaum Dusun Lobu

By 23 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Tenunan Beyangkis adalah sebahagian dari identiti budaya dan warisan nenek moyang suku kaum Dusun Lobu yang perlu dipertahankan untuk generasi mendatang.

Menurut Salitah Sanadon, 59, tenunan Beyangkis yang dihasilkan hari ini sangatlah berharga kerana dipelajari secara turun-temurun daripada ibunya.

Salinah menunjukkan cara menenun Beyangkis.

Jelasnya, sebagai generasi ketiga, penenun Beyangkis tidak ramai dan hanya tinggal 12 penenun yang kini mengembangkan kemahiran itu di Mukim Lanas Sook, daerah Keningau.

“Tenunan Beyangkis berasal dari kaum Dusun Lobu atau dikenali sebagai Rumanau manakala kalau di Sabah selain di Mukim Lanas Sook, Dusun Lobu ini ada juga terdapat di Tongod, Telupid, Ranau dan Kota Marudu.

“Kalau dilihat tidak ramai yang tahu cara menenun Beyangkis dan setakat ini di Mukim Nanas Sook sahaja ada 12 orang tahu cara menenun Beyangkis. Oleh itu, sebahagian besar permintaan untuk menenun Beyangkis datang kepada kami,” katanya ketika ditemui di program Craft Exotica, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, mengikut kepercayaan kaum Dusun Lobu, pemakaian tenunan Beyangkis bagi kaum lelaki dan perempuan ada bacaan mantera, motifnya dan pantang larangnya tersendiri.

“Bagi lelaki biasanya dipakai oleh orang dulu-dulu untuk pergi berperang dan sebelum dipakai dibacakan dahulu mantera agar dapat memberikan perlindungan atau kekebalan kepada individu sebelum berdepan dengan bahaya.

Antara produk yang dihasilkan oleh Salitah.

“Sementara itu, bagi pihak perempuan mantera pemakaian Beyangkis berbeza dan sering dikaitkan dengan penampilan fizikal atau kecantikan agar pemakai kelihatan lebih menarik atau cantik, terutamanya pada acara-acara penting seperti perkahwinan.

Katanya lagi, terdapat pantang larang khusus yang melarang individu yang sudah berkahwin untuk menenun.

“Namun, kerana sekarang setiap orang memiliki kepercayaan agama masing-masing.

“Untuk menghindari kepunahan tenunan Beyangkis, maka diperbolehkan untuk menenun,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri temu bual, Salitah yang sudah lanjut usia berharap lebih ramai belia tempatan menyambung legasi penenun Beyangkis agar warisan tersebut tidak terkubur oleh peredaran zaman.

“Saya yakin bahawa ada belia-belia yang mungkin tidak memiliki kesempatan untuk melanjutkan pendidikan ke universiti, namun jika mereka belajar tenunan ini, saya percaya mereka lebih kreatif dan berinovasi dalam menghasilkan pelbagai produk berasaskan tenunan tradisional ini.

“Untuk pengetahuan juga tenunan dan anyaman yang dihasilkan daripada tenunan Beyangkis ada banyak dan antaranya dikenali sebagai kapas, tikar, bakul, raya, lilipo, dan sirong,” terangnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda