
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO
IPOH, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Kerja keras secara konsisten akan membawa kepada kejayaan yang gemilang.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Ts. Muhamad Rumzi Mamat, adalah menjadi keperluan untuk berkerja dengan penuh dedikasi, kesungguhan yang luar biasa dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas.

Antara warga POLYCC yang diraikan.
“Kejayaan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah kerana mereka telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap yang terbaik sehingga terpilih untuk menerima anugerah tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis APC 2023 POLYCC Zon Perak di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini semalam.
Tambah beliau, APC ini akan memberikan motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga POLYCC dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang serta selaras dengan hala tuju kementerian dan hasrat kerajaan.
“Namun, ia bukanlah titik noktah kepada usaha berterusan untuk mengangkat martabat Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke satu tahap yang lebih tinggi.

Pengarah PUO Dr. Shamsuri Abdullah turut berucap dalam majlis berkenaan.
“Semoga anugerah ini menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada penerima untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang, seterusnya menjadi mentor terbaik kepada rakan sekerja,” katanya.
Malah, beliau turut menekankan bahawa APC bukanlah satu pengukur kecemerlangan tertinggi yang dicapai namun masih banyak sumbangan, idea dan khidmat bakti yang boleh dicurahkan demi kementerian dan jabatan menuju kecemerlangan memacu negara MADANI.
Dalam majlis itu, seramai 125 anggota perkhidmatan awam POLYCC Zon Perak dengan 85 orang dari Politeknik dan 40 orang dari Kolej Komuniti menerima anugerah tersebut.
-ZS-