
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/APM Bagan Datuk
RUNGKUP, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Bencana yang tidak dijangka mengundang kesulitan dan di sebalik kesulitan yang dihadapi, akan hadir pasukan keselamatan yang menghulurkan bantuan kepada rakyat demi memastikan ketenteraman negara terjaga.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) antara pasukan yang sentiasa bersedia untuk memastikan situasi bencana dikendali dengan cekap dan selamat.

APM turut menerima penghargaan semasa Program Jelajah Desaku@Rungkup yang lalu.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi, APM merupakan sebuah agensi keselamatan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Sesuai dengan moto Sedia, Pantas dan Berintegriti, bidang tanggungjawab APM dalam aspek keselamatan negara terbahagi kepada tiga situasi iaitu sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana.

Latihan mingguan yang melibatkan penggunaan Peralatan Penapis Air SIRIM.
“Sebelum berlaku bencana, antara tanggungjawab APM adalah untuk memberi latihan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang berkenaan aspek keselamatan dan ilmu berkenaan pertahanan awam,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Bagan Datuk, kelmarin.
Tambahnya, APM turut merekrut dan melatih anggota agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Tanggungjawab menjaga ketenteraman negara bukan hanya terletak di tangan pasukan keselamatan negara, bahkan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan penyertaan rakyat untuk bersama-sama menyertai pasukan APM sebagai anggota tetap ataupun secara sambilan,” ujarnya.
-ZS-