
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah menyertai Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap atau ringkasnya “BeBAs” di Komalaut 2, Kuala Perlis, semalam.

Menteri Kesihatan turut menampal papan tanda larangan merokok di kawasan premis makanan tersebut
Menurut Dzulkefly, program ini merupakan simbolik kerjasama erat di antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.
“Program BeBAs ini merupakan lokasi keempat sejak bermulanya program ini pada Februari 2024 yang lalu dan bermula dengan sesi walkabout di kawasan Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis yang melibatkan 14 premis dan kesemua premis tersebut mendapat pengiktirafan premis “Bersih dan Selamat (BeSS),” ujarnya.
“Program ini akan diteruskan dengan sesi perjumpaan meja bulat bersama wakil-wakil peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan diadakan sejurus selepas sesi walkabout ini,” katanya.

Sidang Media Menteri Kesihatan selepas sesi walkabout
Sepanjang tempoh Januari sehingga Jun 2024, sebanyak 8,612 bilangan operasi telah dilaksanakan di bawah Pematuhan Kepada Larangan Merokok Di Tempat Larangan Di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang mana 73,464 notis kesalahan telah dikeluarkan dan 64,429 notis kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 berkaitan larangan merokok di tempat makan, telah dikeluarkan.
Bagi negeri Perlis, sebanyak 122 bilangan operasi pematuhan larangan merokok di tempat larangan telah dilaksanakan dengan 1,503 notis kesalahan telah dikeluarkan dan 186 notis kesalahan di di bawah Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 berkaitan larangan merokok di tempat makan.
-AA-