Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Bendung Keciciran, Tingkatkan Kehadiran Pelajar

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Masalah dalam pendidikan khususnya keciciran pelajar kerap berlaku dan semakin membimbangkan jika tiada sebarang langkah pembendungan dan kurang keprihatinan daripada komuniti setempat.

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat, berkata menyedari kesan negatif isu keciciran pelajar, Parlimen Pulai telah melaksanakan program Anak Angkat Berjaya Akademik bagi mempertingkatkan kehadiran golongan tersebut ke sekolah.

Antara bantuan yang akan diberi berupa wang tunai, keperluan buku latihan, peruntukan tambang bas pergi dan balik sekolah atau pakaian seragam sekolah.

“Pada tahun lepas, lebih kurang 10,000 orang pelajar tingkatan lima di negara ini tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas faktor tidak hadir ke sekolah.

“Anak Angkat Berjaya Akademik merupakan satu inisiatif antara Parlimen Pulai bersama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dengan sasaran sekurang-kurangnya peningkatan 80 peratus kehadiran pelajar tingkatan lima khususnya untuk golongan keluarga B40,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Anak Angkat Berjaya Akademik di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Uda Utama, di sini kelmarin.

Sebanyak sembilan buah sekolah dalam Parlimen Pulai akan terlibat dalam modul rintis program Anak Angkat Berjaya Akademik.

Suhaizan, berkata seramai 39 pelajar dalam kawasan Parlimen berkenaan terpilih mengikuti program tersebut.

“Sebanyak RM53,000 diperuntukkan untuk membantu pelajar yang berpotensi ini namun tidak hadir ke sekolah atas beberapa faktor kekangan kemampuan keluarga dan bantuan yang akan diberi berupa wang tunai, keperluan buku latihan, peruntukan tambang bas pergi dan balik sekolah atau pakaian seragam sekolah mengikut keperluan pelajar,” katanya.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru Saliman Selamat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda