
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Kolej Komuniti Sungai Petani
SUNGAI PETANI, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Bizchallenge yang berlangsung di Ekspo Keusahawanan, Kerjaya Zon Perlis/Kedah dan MyPSH@Kolej Komuniti Sungai Petani dari 20 dan 21 Julai lalu menjadi wadah untuk mencungkil dan menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar bagi melahirkan lebih ramai jutawan daripada Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebaik tamat pengajian kelak.
Pertandingan Bizchallenge terbahagi kepada kategori Top Sales, Top Marketing, Creative Biz Deco, Best Presenter dan Best Product Packaging memberikan peluang kepada pelajar untuk mempamerkan idea dan mendapatkan maklum balas daripada panel pakar serta menyemai semangat keusahawanan, menggalakkan mereka untuk berfikir di luar kotak dan mengembangkan idea-idea kreatif yang boleh dijadikan perniagaan yang berkembang maju.

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik Tan Sri Abdul Razak dan Kolej Komuniti turut melancarkan dua produk komersial di bawah geran TVET APPLIED COMMERCIALIZATION GRANT SCHEME (T-ACGS) 2024 kepada Kolej Komuniti Sungai Petani sebanyak RM65 ribu.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) Dr. Reezlin Abd Rahman, KKSP menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang boleh dipilih mengikut minat dan keperluan individu.
“Terdapat 20 kursus pendek bagi Program MyPSH (Pembelajaran Sepanjang Hayat) seperti kursus kreatif bersama Canva, Italian Pasta, Kursus Mobil Fotografi, aneka masakan barat, servis enjin dan lain-lain,” ujarnya semasa majlis perasmian penutup ekspo tersebut, di sini kelmarin.
Katanya lagi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sangat menyokong penuh dan memberi galakan tidak berbelah bahagi kepada semua pelajar untuk menggilap dan menajadi usahawan muda.
“Dengan kerjasama bersama rangkaian usahawan, pelajar berpeluang berinteraksi dengan usahawan lain, berkongsi pengalaman dan membina rangkaian yang dapat membantu dalam perniagaan mereka di masa depan.
“Program-program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat, tetapi juga membantu membina ekosistem pendidikan dan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.