Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Dari Minat Makan Buah Durian, Don Ien Kini Usahawan Anak Pokok Berjaya

By 16 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA BELUD, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Sering kali kita mendengar cerita di sebalik tabir bagaimana seseorang individu merubah nasibnya menjadi usahawan berjaya dalam bidang diceburi bermula dengan minat atau hobi.

Demikian juga kisahnya buat seorang pengusaha bibit atau anak pokok buah-buahan Donny Ien, 43, yang kini mengusahakan nurseri buah-buahan dikenali sebagai Don Nursery terletak di Kampung Rangalau, di sini.

Anak pokok durian kura-kura antara varieti durian yang terdapat di tapak semaiannya.

Menurutnya, niat untuk memulakan perniagaan itu muncul ketika beliau masih menetap di Pulau Pinang yang pada masa itu sangat terkenal sebagai antara destinasi utama untuk menikmati raja buah atau durian tempatan.

“Saya bermula dengan minat. Pada masa itu saya bekerja di Pulau Pinang bersama isteri dan saya sering melihat penjual durian di sana menjual durian jenis musang king dan duri hitam pada harga yang lumayan ketika itu harganya lebih kurang RM80 sekilogram.

“Saya teringin makan seterusnya membeli durian duri hitam dengan berat dua kilogram berharga RM100, lebih satu biji dan ketika itu saya berfikir kenapa saya tidak tanam sendiri sahaja buah durian ini,” ketika ditemui di nurseri miliknya di Kampung Rangalau, di sini pada Ahad.

Nekad untuk kembali ke tanah kelahirannya di Sabah pada tahun 2017, beliau mula mencuba membuat cantuman anak pokok pelbagai jenis buah-buahan dan pernah beberapa kali gagal namun tidak pernah berputus asa.

“Buat permulaan, saya cuba mencantum 10 pokok tetapi tidak berjaya, namun saya tidak berputus asa dan saya terus mencuba dengan konsisten, terus membuat latihan, berbulan-bulan lamanya sehinggalah saya berjaya dan menjadikannya seperti hari ini.

Donny menerima sijil penghargaan daripada Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Nuzuluddin Abdul Razak dan disaksikan Pegawai Penerangan, Puan Sunday Grace Justimus dalam program iNSPO@JAPEN.

“Kini Don Nurseri mampu menghasilkan puluhan ribu bibit pokok buah-buahan dengan lebih 20 varieti durian antaranya musang king, duri hitam, D14, montong termasuk bibit cempedak, rambutan, avocado dan pelbagai lagi buah-buahan tempatan berkualiti,” ujarnya.

Menceritakan bantuan yang diperolehi, beliau juga telah memohon bantuan dari Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam usaha mempertingkatkan perusahaan anak pokok buah-buahannya.

Seorang pelanggan yang juga pengusaha anak pokok buah-buahan, Kenneth Kinsu, 35, dari Ranau menjadikan Don Nurseri sebagai salah satu pembekal utama untuk mendapatkan anak pokok yang berkualiti dan dipercayai.

“Saya sudah lama mengenali beliau dan telah beberapa kali membeli bibit dari nurserinya. Saya amat yakin dengan bibit yang beliau hasilkan kerana sememangnya berkualiti tinggi selain khidmat nasihat diberikan juga membantu saya dalam perniagaan ini.

“Kalau dilihat dari usaha beliau yang bermula daripada bawah sehingga mampu menjadi usahawan berjaya seperti hari ini adalah contoh terbaik buat para anak muda di luar sana untuk setidaknya mempunyai idea pekerjaan apa yang boleh dilakukan di kawasan ini,” katanya.

Sebagai makluman, Don Nursery turut menerima pelajar praktikal daripada Pusat Latihan Pertanian Kota Belud serta anggota tentera yang mengikuti latihan peralihan sebelum bersara untuk diberikan pendedahan mengenai pengurusan anak pokok sekali gus peluang ekonomi melalui pertanian.

Terletak sejauh 77 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, Don Nursery beroperasi setiap hari, kecuali Sabtu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang selain aktif mempromosi kegiatan di nurseri berkenaan di media sosial.

-ZS-

Tinggalkan komen anda