
Laporan/foto: Rosli Md Zin/Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)
BACHOK, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Hampir 70 orang daripada Komuniti MADANI Daerah Bachok dan penduduk Mukim Kubang Telaga hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu ditayangkan secara langsung melalui wayang pacak dalam program JIWA MADANI sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Laman Hijau Pusat Aktiviti Pelancongan Kubang Telaga,Bachok.

Hasmat Salleh, 55 (tengah) mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad Nor Azmiza Mamat dalam ucapan perasmian menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Seri Paduka Baginda yang mampu memerintah dengan bijaksana, adil dan saksama selaras dengan perlembagaan Malaysia.
“Saya melihat baginda sebagai seorang yang tegas namun peramah bersama rakyat dan disebabkan oleh ketegasan baginda itu, rakyat pasti akan mematuhi menghormati undang-undang dan Perlembagaan Negara,” katanya.
Manakala Hasmat Salleh, 55, mengucapkan tahniah dan mendoakan agar pemerintahan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sentiasa diberkati Allah.

Tayangan wayang pacak Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Semoga Allah Subhanahuwataala memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan diberikan kesihatan dan keafiatan yang berpanjangan,Daulat Tuanku,” katanya.
Program tersebut dilaksanakan dengan konsep tradisional berkain batik kurung Kedah serta kain pelikat.
Turut diadakan acara bacaan yasin, doa selamat, taklimat Sistem Beraja di Malaysia, serahan Jalur Gemilang dan sebagainya.
-ZS-