
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok di Cyberjaya turut disertai delegasi Komuniti MADANI dari seluruh negara dan tidak ketinggalan termasuk dari negeri Perlis.

Komuniti MADANI berkumpul di pejabat JaPen Perlis.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan, seramai 112 peserta Komuniti MADANI daripada 45 buah Komuniti MADANI dari tiga Parlimen di Perlis dijemput untuk turut menyemarakkan lagi majlis pelancaran tersebut.
“Kita juga turut membawa Duta Komuniti MADANI Kuala Perlis yang juga peserta di bawah bimbingan NADI dengan menjadi pempamer produk bagi Komuniti MADANI Perlis iaitu seperti produk belacan Kuala Perlis, kuah rojak yang cukup terkenal oleh pelancong yang datang ke negeri Perlis.
“Esok akan diadakan pelancaran sempena Bulan Kebangsaan 2024 dan dengan itu di peringkat negeri Perlis akan diadakan aktiviti-aktiviti bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan di negeri ini,” ujarnya.
Pemukiman Komuniti MADANI 2024 disertai oleh masyarakat tempatan, ahli Komuniti MADANI dengan pelbagai latar belakang termasuk pertubuhan bukan kerajaan, para usahawan dan juga penjawat awam.
-ZS-