Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Demonstrasi Mencegah Kebakaran Bantu Meningkatkan Kesedaran Warga Rumah Panjang

By 23 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Daniel Jong/Ephraem Norbert (Sarawak)

KAPIT, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Program ceramah dan demonstrasi mencegah kebakaran di rumah panjang harus diadakan lebih kerap kerana ia membantu membuka kesedaran dalam kalangan penduduk setempat khususnya warga emas.

Tuai Rumah (Ketua Rumah Panjang) Teluk Buing, Labang Aji, 62, memberitahu program tersebut amat berguna dalam memberikan kemahiran asas dan langkah awal pencegahan kebakaran daripada berlaku.

Tuai Rumah Teluk Buing, Labang Aji.

Perkara sama turut dikongsikan oleh seorang suri rumah, Regina Undi, 49, yang menyatakan kerisauan sekiranya berlaku kebakaran.

“Saya berasa lega setelah mendapat pengetahuan awal berkaitan hasil daripada mendengar ceramah serta diberikan peluang untuk menjalani latihan cara-cara untuk memadamkan api.

‘’Sebagai suri rumah yang menetap sepenuh masa di sini, saya kini merasa lebih yakin dan selamat selepas diterangkan perkara yang perlu dilakukan jika ada bencana api berlaku di rumah kami,’’ ujarnya.

Ceramah dan demonstrasi mencegah bahaya api telah dianjurkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit semasa Program Jiwa Komuniti Madani di rumah Panjang Teluk Buing, di sini semalam.

Suri rumah Regina Undi.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kapit Mohd Said Kalihing, berkata adalah amat penting mendedahkan penduduk rumah panjang tentang ilmu keselamatan kebakaran agar mereka dapat mengetahui langkah-langkah asas untuk menyelamatkan diri dan orang lain.

“Menyedari kedudukan rumah panjang agak jauh dari balai bomba maka kami menjemput pihak bomba hadir bersama agar mereka dapat mendidik penduduk tentang pencegahan awal semasa berlaku bencana api,’’ katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda