
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Dodol kini mudah didapati di mana sahaja walaupun di luar musim perayaan, apatah lagi dodol yang dimasak dengan menggunakan kayu api sebagai bahan bakar yang dianggap unik dan mengimbau kenangan silam.

Dodol yang telah siap dimasak tersedia untuk dipasarkan.
Pengusaha dodol Roszani Abd Aziz, 54, berkata dodolnya sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana dimasak menggunakan kayu api.
“Dodol dimasak selama lebih empat jam, selain proses memasak saya perlu peka dengan suhu api kerana amat penting dalam menghasilkan dodol yang enak.
“Saya telah mengusahakan perusahaan ini sejak 23 tahun yang lalu, mewarisinya daripada keluarga dan memilih cara lama kerana mahu menjaga kualiti serta rasa dodol disediakan sama seperti dahulu,” ujarnya yang menggunakan kayu getah dan rambutan untuk memasak dodol.

Shazatul Nisha sering menjadikan dodol sebagai sajian harian keluarganya.
Salah seorang pelanggan Shazatul Nisha Badrul Hisham, 25, berkata hampir setiap minggu beliau akan mendapatkan dodol ini yang dianggap menepati citarasa keluarganya selain dijadikan buah tangan ketika menziarahi sanak-saudara.
Menurutnya Roszani lagi, memasak dengan menggunakan kaedah ini akan menghasilkan dodol yang lebih wangi dan tahan lama serta enak rasanya selain daripada menggunakan bahan-bahan segar yang diproses sendiri seperti santan kelapa, beras pulut yang dikisar halus serta gula merah dan gula putih.
“Selain dari pasaran tempatan dodol ini juga turut mendapat tempahan dari luar negeri Kedah,” ujar pengusaha ini lagi mengakhiri perbualan.
-ZS-