
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/DOSM Teluk Intan
TELUK INTAN, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Perak komited dan bersiap sedia dalam memastikan operasi Banci Pertanian 2024 dilaksanakan di negeri ini dengan lebih terperinci dan komprehensif.
Pengarah DOSM Perak Mohd Ridauddin Masud, berkata bagi melicinkan proses Banci Pertanian 2024, DOSM telah merangka inisiatif dengan mengadakan Sesi Pemukiman Bersama Agensi di setiap daerah di seluruh negara bermula 24 Jun lalu.

Mohd Ridauddin berkata sesi pemukiman ini adalah usaha untuk memastikan operasi, metode dan proses pengumpulan data berjalan dengan lancar.
“Sesi pemukiman yang dilaksanakan di 92 lokasi melibatkan 162 daerah seluruh negara ini bertujuan untuk menguar-uarkan kepada semua agensi pertanian dan pihak berkepentingan berkenaan pelaksanaan dan perincian operasi banci yang dijalankan.
“Memandangkan mekanisme pelaksanaan banci adalah secara PAPI (Pen and Paper Interview) atau bersemuka dari rumah ke rumah, kami amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi terlibat, Penghulu Mukim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK),” ujarnya ketika ditemui pada Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perangkaan Komunikasi Strategik dan Antarabangsa DOSM Ezatul Nisha Abdul Rahman bagi membentangkan kertas kerja.
Tambah Mohd Ridauddin, sumbangan Perak amat signifikan kepada sektor pertanian negara kerana Perak merupakan negeri penyumbang utama kepada industri perikanan marin manakala dari segi ternakan (ketiga) dan tanaman (kelima).
“Hilir Perak dan Bagan Datuk menjadi lokasi ketujuh bagi sesi pemukiman ini dan sesi terakhir dijadualkan berlangsung di Perak Tengah pada 15 Julai depan,” tambahnya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah merasmikan Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 pada 4 Julai di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor.
Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan bermula 7 Julai hingga Oktober ini merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan serta pembalakan.
-ZS-