Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 Peringkat Daerah Meradong Dianjurkan dengan Jaya

By 27 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail (Sarawak)

BINTANGOR 27 Jul (Malaysiaaktif) – Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 telah dianjurkan dengan jayanya di Dewan Masyarakat Meradong serentak dengan pelancaran di 45 daerah seluruh Sarawak hari ini.

Tujuan penganjuran ekspo ini adalah bagi menyebarkan maklumat mengenai peluang pendidikan yang ada di Sarawak khususnya institusi di bawah kelolaan kerajaan negeri Sarawak.

Datuk Ding (tiga dari kanan) menerima cenderamata kenangan dari Wakil UTS (tiga dari kiri) sambil diiringi oleh Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffery Kandawang (dua dari kiri), Setiausaha Majlis Daerah Maradong dan Julau Lau Chi Sing (satu dari kiri), Wakil Yayasan Sarawak, Asfa Jarina Salleh (dua dari kanan) dan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawatie Wan Ahmad (satu dari kanan).

Ekspo anjuran Yayasan Sarawak ini telah menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar kawasan luar bandar bagi mendapatkan peluang pendidikan yang ada di Sarawak dan menempatkan diri dalam institusi pilihan sama ada mengikuti kursus bercorak akademik atau kemahiran.

Kemasukan pelajar ke institusi yang terlibat akan dijamin mendapat bantuan dan pinjaman daripada Yayasan Sarawak manakala, pelajar yang layak dan terpilih berpeluang untuk mengikuti program Bahasa Inggeris (EEP) secara percuma di Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak dan Universiti Curtin selama sebulan yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sarawak meliputi yuran kursus, wang saku dan asrama.

Di samping itu, pelajar yang layak akan mendapat bantuan dari segi kewangan oleh Yayasan Sarawak untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau Institusi Kemahiran dan turut layak mendapat subsidi 80 peratus yuran pengajian di Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Curtin, i-Cats dan Kolej Laila Taib di bawah Bursari BP40.

Menurut pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong yang mendapat pencapaian 10A dalam SPM lalu , Jacquelyna Anatashya Anthony, 18, beliau merasa bangga dan terharu menerima anugerah penghargaan daripada Yayasan Sarawak dan percaya bahawa kerajaan negeri Sarawak tidak pernah melupakan setiap anak Sarawak yang berjaya dalam Pendidikan.

“Saya turut berharap dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kembali selepas berjaya dan diberi peluang untuk bersama-sama menabur bakti memajukan Sarawak,” katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang yang mendapat 10A dari SMK Kai Chung, Hilary Noel Wee Wei Heng, 18, berkata beliau turut berharap untuk mendapat tempat ke IPT bagi mengejar impian beliau untuk melanjutkan pelajaran dan dalam masa yang sama diberi peluang untuk mendapat bantuan daripada pihak Yayasan Sarawak.

Dianggarkan sekitar 200 pelajar dan ibu bapa hadir memeriahkan ekspo tersebut.

Turut hadir merasmikan majlis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffery Kadawang, Wakil Yayasan Sarawak Asfa Jarina Salleh, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawatie Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Daerah Maradong dan Julau Lau Chi Sing.

-ZS-

Tinggalkan komen anda