
Laporan/foto: Fauziah Abdul Wahab/Mohd Fathi Yakan Ahmad Fukrazi (Yan)
YAN, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Projek Pembinaan Empangan Sabo telah disiapkan mengikut jadual dan siap sedia untuk berfungsi sebagai perlindungan sekiranya berlaku kejadian banjir lumpur dan kepala air.
Melalui pembinaan struktur ini, ia dapat menghalang banjir puing dan arus yang deras ketika berlakunya kepala air seterusnya mengelak daripada berlakunya kemusnahan harta benda di kawasan hilir sungai.
Projek ini telah dilaksanakan secara reka dan bina bagi menyegerakan penyediaan perlindungan kepada penduduk setempat serta mengambil masa selama 18 bulan bermula pada 6 Disember 2021 dan siap sepenuhnya pada 5 Jun 2023.

Antara tetamu yang hadir.
“Kos keseluruhan kontrak adalah RM22.8juta meliputi pembinaan dua unit struktur sabo, penyediaan sistem amaran kepala air dan pembinaan kerja-kerja penstabilan sungai.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kemampanan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksima kepada rakyat negeri Kedah,” katanya.
Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata demikian di Majlis Penyerahan Projek Cadangan Pembinaan Empangan Sabo Serta Kerja-Kerja Berkaitan di Daerah Yan dan Kuala Muda, di sebuah pusat peranginan, di sini semalam.
Menurutnya lagi, pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri menerusi gagasan berteraskan konsep Malaysia Madani.
Sesi penyerahan projek ini turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bertujuan untuk menyerahkan projek ini yang telah siap dilaksanakan kepada pihak Kerajaan Negeri Kedah sebagai pengguna.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan) Datuk Haji Mohd Fauzi Mustaffa, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) JPS Negeri Kedah Ir. Amiruddin Alaldin dan Pengarah JPS Negeri Kedah Ir. Ahmad Solihin Budarto.
-ZS-