Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

FKAT Medan Promosi Warisan Budaya Sabah Ke Pentas Dunia

By 11 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 1 Jul (Malaysiaktif) – Kerajaan Sabah akan memastikan keindahan budaya tradisi rakyat berbilang kaum di negeri ini terus diangkat dan diperjuangkan sekali gus menjadi daya tarikan buat pelancong berkunjung ke negeri ini.

Hajiji memalu gong sebagai gimik perasmian Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) adalah medan untuk mempromosikan khazanah budaya dan tradisi suku kaum yang diwarisi oleh berbilang etnik sejak turun-temurun.

Menurutnya, Sabah terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya etnik yang pelbagai serta keindahan alam semula jadi yang unik dan menarik merupakan antara aset dan khazanah negeri yang amat bernilai.

“Oleh hal yang demikian, aspek budaya dan adat tradisi suku kaum, serta keindahan alam semula jadi yang menjadi khazanah kita ini, wajar terus diketengahkan menerusi festival ini dan usaha seperti ini sudah pasti merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini, termasuk di Tawau.

Suasana ketika FKAT.

“Dalam masa sama, penganjuran program sebegini, ia turut memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat setempat, khususnya usahawan, untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk-produk berunsur tradisi, seperti kraftangan dan makanan etnik,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Siri Ke-9 Tahun 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Sabtu.

Tambah Hajiji lagi, dengan siapnya Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) nanti, FKAT yang diadakan secara tahunan ini akan mempunyai bangunan kekal selain menjadi tempat penganjuran pelbagai program bertaraf dunia lain.

“TICC ini juga akan menjadi pusat pengembangan budaya yang utama di luar ibu negeri Kota Kinabalu. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha murni seperti ini, iaitu, pertama ke arah melestarikan khazanah budaya turun temurun, kedua mempromosikan sektor pelancongan, ketiga membangunkan ekonomi rakyat dan negeri, dan keempat, memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

“Saya berharap festival ini dapat dikekalkan menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mampu menyatu-padukan rakyat melalui persembahan kebudayaan, malah sebagaI wadah untuk melihat sendiri budaya dari negara luar,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda