
Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani/Fong Jia Lung (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Penduduk di sekitar Cherok To’kun, Bukit Mertajam begitu teruja dengan kehadiran 15 jabatan dan agensi kerajaan yang membuka kaunter perkhidmatan serta pameran bersempena Program JIWA MADANI Peringkat Parlimen Bukit Mertajam yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Cherok Tok kun, di sini semalam.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah hadir merasmikan Program JIWA Madani Peringkat Parlimen Bukit Mertajam yang diadakan di Dewan Orang Ramai Cherok To’kun, Jalan Kolam.
Antara jabatan dan agensi yang terlibat ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Skuad Aman Wanita (Amanita), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Seberang Perai Tengah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Perpustakaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Angkatan Pertahan Awam, ICU Negeri Pulau Pinang, Tabung Haji, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas di Program Jualan Rahmah.
Rata-rata pengunjung berasa gembira dan teruja dengan kehadiran jabatan dan agensi kerajaan ini kerana mereka boleh terus mendapatkan perkhidmatan serta berurusan di kaunter yang dibuka tanpa perlu berkunjung ke premis.
“Program ini sangat bermanfaat dan memudahkan orang awam dan saya berharap agar ia diadakan lebih kerap,” ujar Pengerusi Komuniti MADANI Desa Wawasan Sanusi Ahmad.
Program dirasmikan oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal bin Koderat.
Pelbagai program diadakan seperti Program Jualan Rahmah, pertandingan mewarna dan sebagainya.