
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Pertanian Negeri Perlis menyantuni masyarakat negeri Perlis sempena Hari Terbuka Geoagro dan Budi Agri-Komoditi yang diadakan di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Masyarakat yang hadir bagi bantuan BUDI MADANI ke kaunter saringan terlebih dahulu dengan bukti dokumen.
Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) Jabatan Pertanian Negeri Perlis Mohd Nizam Abdul Aziz, berkata pihaknya telah mengumpulkan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Veterinar, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan juga rakan strategik Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi membantu masyarakat di negeri Perlis menyemak atau memohon kelayakan BUDI MADANI.
“Kami membuat Hari Terbuka dengan mengumpulkan agensi-agensi di bawah KPKM agar masyarakat di Perlis mudah untuk hadir dan datang bertanya sekiranya ada sebarang permasalahan dan kemusykilan bagi pendaftaran BUDI MADANI.

Kaunter pendaftaran BUDI MADANI turut menyediakan bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan.
Pengusaha pertanian seperti di bawah subsektor tanaman, ternakan, perikanan adalah antara pengusaha yang dijemput menghadiri hari terbuka bagi membantu para pengusaha dari bidang industri pertanian dalam negeri Perlis untuk membuat permohonan BUDI MADANI.
BUDI MADANI merupakan wadah Kerajaan MADANI untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.
Sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, seramai 100 orang telah hadir membuat permohonan bagi BUDI MADANI sempena hari terbuka tersebut.
-ZS-