
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Peristiwa hijrah bukan saja membuka lembaran baharu malah memperkenalkan pendekatan dan kaedah baharu dalam usaha memenuhi wawasan dan mencapai matlamat dakwah Islamiah.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Pensyarah kanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Madya Dr Ahmad Husni Hasan.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pendekatan ini telah memberikan lonjakan, seterusnya mengupayakan Islam berkembang lebih pesat dan menghasilkan kejayaan besar kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan umat Islam.
“Dalam dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi Baginda yang pernah menghasilkan kejayaan hendaklah dikunjungi, dikaji, diterokai, difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu.
“Dengan mengkaji pendekatan Baginda, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat, serta memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di Casuarina@Meru, Meru Raya di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Sultan Nazrin turut bertitah ummah sewajarnya menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah SAW yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.

Persembahan khas bacaan ayat suci al-Quran.
“Kepimpinan Baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan dan halangan.
“Meski mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, Baginda kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dan senantiasa insaf akan taraf Baginda hanya seorang hamba di sisi Allah SWT.
“Inisiatif Baginda yang memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu, serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa,” titah baginda.
-ZS-