
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohamad Ezwandi (Perak)
TELUK INTAN, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Sesi libat urus melibatkan Jabatan Penerangan (JaPen), Komuniti MADANI Pasir Bedamar dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bandar Baru yang berlangsung di sini pada Selasa diharap dapat meningkatkan sinergi antara jabatan dalam memperkasa pemasaran maklumat kerajaan.

Taklimat berkenaan kecerdasan buatan (AI) dan ChatGPT disampaikan oleh Pengurus NADI Taman Muhibbah Mohammad Firdaus Azmi.
Pengarah JaPen Perak Yosri Abu Mahsin, berkata sesi tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta melalui taklimat yang disampaikan berkenaan kecerdasan buatan (AI), isu penipuan dalam talian dan penyasaran subsidi diesel.
“Melalui kerjasama ini juga Komuniti MADANI mendapat pendedahan tentang peranan dan fungsi NADI untuk dimanfaatkan oleh ahlinya dan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap.
Bagi Pengurus NADI Bandar Baru Norhidayah Zainuddin, pusat ini menyediakan platform buat masyarakat luar bandar terutama komuniti berhampiran untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat berkenaan inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan.

Yosri ketika berucap merasmikan program.
“Program hari ini juga dilihat tidak hanya memperkuat hubungan silaturahim antara jabatan malah diharap memberi impak positif kepada peserta yang hadir,” ujarnya.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Teluk Intan Wan Muhammad Badro Wan Mahmood juga bersetuju pemusatan jabatan dan agensi kerajaan dalam suatu program perlu diperbanyak agar rakyat memperoleh lebih banyak maklumat secara langsung daripada sumber yang sahih.
“Banyak maklumat inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat dikongsikan kepada masyarakat melalui penganjuran program kerjasama seumpama ini,” katanya.
-ZS-