
Laporan/foto: Amir Rithauddin
KUALA KUBU BHARU, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru Kadet Bomba di Selangor dengan mengadakan Majlis Apresiasi Guru Kadet Bomba dan Jamuan Makan Malam di Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Hulu Selangor.
Menurut Pengarah JBPM Negeri Selangor Wan Md Razali Wan Ismail, majlis ini pertama kali dianjurkan bagi menghargai usaha, kerjasama serta komitmen terbaik yang diberikan oleh semua guru kadet yang terlibat terutamanya dalam menjayakan Program Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2024.
“Saya bagi pihak JBPM Negeri Selangor amat menghargai jasa semua guru kadet Bomba yang selama ini bertungkus-lumus dalam membangunkan potensi para pelajar terutamanya dalam bidang kokurikulum unit beruniform, Kadet Bomba dan Penyelamat agar menjadi seorang individu yang lebih berkualiti, berpotensi serta memiliki minda kelas pertama,”, katanya ketika berucap di majlis tersebut, kelmarin.
Dalam majlis tersebut beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kepada semua agensi dan sekolah yang terlibat di samping sijil anugerah khas kepada dua orang guru yang komited memberi sumbangan dalam aktiviti Kokurikulum Kadet Bomba di Negeri Selangor.
Turut hadir Pegawai Daerah Hulu Selangor Yuhanas Auree Kamaruddin, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Sarina Shaari, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt. Ahmad Faizal Tahrim dan Ketua Zon 6 Bomba Selangor Ahmadi Muhamad Hasan.
-ZS-