
Laporan/foto: Mohd Alihanafiah/Azlizan Razaly (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Kesemua 54 buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di daerah ini disaran untuk memanfaatkan dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), inisiatif terkini yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun ini.
Menurut Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, program SejaTi MADANI merupakan salah satu bentuk bantuan kerajaan yang bertujuan mengupayakan komuniti melalui peningkatan sosioekonomi masyarakat dan secara tidak langsung dapat menangani isu kemiskinan tegar dengan membuka peluang pekerjaan baharu.

Pegawai Penerangan Daerah Nurlaila Abdul Azid menyampaikan penerangan mengenai konsep Malaysia MADANI.
“Saya menyarankan agar JPKK mengambil peluang untuk memohon dana yang disediakan kerana program ini dapat melahirkan komuniti berdaya saing, berorientasikan komersial dan dapat membangunkan sektor ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus Program SejaTi MADANI sempena Program JIWA Komuniti MADANI Langkap yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, di sini kelmarin.
Tambah Mufidah, projek ekonomi yang dipohon perlulah bersifat ‘quick win’ iaitu mampu membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat di antara tiga hingga enam bulan.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Langkap Mohamad Maharani Md Tasi berkata, sesi libat urus ini menerima sambutan baik daripada semua peserta yang hadir.

Mohamad Maharani (dua dari kanan) ketika mendengar taklimat permohonan SejaTi MADANI.
“Program SejaTi MADANI berupaya meningkatkan daya saing dan memberi peluang kepada JPKK untuk terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan sekaligus dapat merancakkan kegiatan ekonomi komuniti setempat,” ujarnya.
Pengerusi JPKK Pasir Bedamar Chua Hong Long pula amat berpuas hati apabila berpeluang menghadiri sesi taklimat dan mengetahui cara yang betul untuk membuat permohonan SejaTi MADANI.
“Penerangan yang diberikan oleh Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak Haji Mohd Shukairi Mohd Ibrahim sangat menyeluruh dengan menyentuh tatacara permohonan, jenis-jenis projek yang boleh dijalankan dan senarai keperluan yang perlu disertakan.
“Saya akan menghantar permohonan projek dengan segera kerana bantuan ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang kampung,” katanya.
Sesi taklimat anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah, Komuniti MADANI Langkap dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak itu dihadiri oleh kira-kira 120 peserta termasuk Pengerusi dan Setiausaha JPKK di daerah Hilir Perak.
-ZS-