
Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)
BALING, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Persatuan 4P (Pasukan Perancang Pelaksanaan Projek) Desa KEDA Bandar semalam telah bergotong-royong menyediakan sebanyak empat kawah bubur asyura sebagai simbolik menyambut bulan Muharam kali ini.

Bubur asyura yang siap dimasak, dibungkus sebelum diedarkan kepada penduduk.
Program kacau bubur Asyura kali ini bukan sahaja dibuat sebagai santapan untuk diagihkan, sebaliknya turut dipertandingkan di antara blok kediaman penduduk Desa KEDA berkenaan. Pertandingan bubur asyura ini diadakan sebagai menambah keceriaan dan kesepakatan penduduk dalam aktiviti yang dilaksanakan di KEDA ini.
“Kacau bubur Asyura ini adalah acara tahunan yang dilaksanakan, namun hari ini sedikit istimewa kerana dibuat pertandingan bubur Asyura terbaik dari segi hiasan, rasa dan juga bahan yang dimasukkan ke dalam bubur,” kata Ketua Komuniti MADANI Desa KEDA Bandar Nor Azman Din, 59.

Juara pertandingan Bubur Asyura dari Blok B menerima hadiah dari Pegawai KEDA Baling.
Salah seorang peserta Basirah Panian, 52, berkata beliau sememangnya selalu terlibat terlibat dalam akriviti yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan dan Persatuan 4P Desa Keda Bandar.
“Saya berharap agar program sebegini sentiasa diadakan bagi mewujudkan perpaduan yang erat dalam kalangan penduduk,” katanya.
Johan acara bubur Asyura kali ini adalah kumpulan yang mewakili Blok B, tempat kedua Blok C, ketiga Blok D dan tempat keempat blok A.
Hadiah berupa hamper disampaikan oleh Pegawai KEDA Daerah Baling Muhammad Yusran Azali.
-ZS-