Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Kalungan Bunga Hari Pahlawan Kenangkan Kembali Pengorbanan Mendiang Lans Koperal Lemon

By 31 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Christi Lemon (Sarawak)

BAU, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Pahlawan 2024 Persatuan Perwira Hijau Bisingai Bau (PPHBB) disambut sederhana tetapi penuh pengertian di pusara mendiang Lans Koperal Lemon @ Omon Rona di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Sudoh, Singai.

Mendiang Lans Koperal Lemon yang berbangsa Bidayuh dari Singai, di sini ketika itu bertugas sebagai anggota Renjer, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) terkorban dalam serangan hendap ketika operasi penjejakan pengganas komunis di Gopeng, Perak pada 5 April 1980.

Joseph (tengah) menyampaikan Sumbangan Tabung Hari Pahlawan kepada Lilian (kiri) disaksikan Zakaria.

Sambutan diketuai Pengerusi PPHBB Zakaria Abdullah bersama ahli PPHBB yang terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan simbolik meletakkan kalungan bunga di pusara oleh balu mendiang Lemon, Lilian Rinyep sebagai tanda peringatan pengorbanan mendiang.

“Pengorbanan mendiang Lans Koperal Lemon merupakan pengorbanan berdarah dalam mempertahankan keamanan negara ketika itu yang tergugat oleh anasir komunis dan pengorbanan itu wajar diingati oleh kami rakan seperjuangan beliau dalam ATM malah oleh pelbagai pihak ketika ini.

“Bagi memperingati perjuangan dan pengorbanan mendiang, kami veteran ATM dari Persatuan Perwira Hijau Bisingai Bau mengadakan upacara khas ini setiap tahun sejak tahun 2020 dengan meletakkan kalungan bunga dan memberikan tabik hormat di pusara mendiang,” jelas Zakaria ketika ditemui hari ini.

Upacara peringatan tersebut kemudiannya diteruskan dengan tabik hormat oleh veteran ATM yang hadir.

Lilian (depan kanan) bersama veteran ATM merakamkan foto kenang-kenangan di lokasi Sambutan Hari Pahlawan.

Sejurus selepas itu, Zakaria menyampaikan Sumbangan Tabung Hari Pahlawan kepada Lilian disaksikan Ketua Kaum Joseph Durin yang hadir mewakili masyarakat Kampung Sudoh.

Tempoh 44 tahun berlalu turut meninggalkan kesan mendalam namun pengorbanan itu diterima dengan hati terbuka oleh keluarga mendiang yang memahami bahawa kepentingan negara adalah lebih utama biarpun menitiskan darah perjuangan.

“Mengenangkan kembali ketika itu apabila mendapat perkhabaran suami saya terkorban ditembak komunis, terasa amat berat dan diselubungi kesedihan yang sekian lama, hanya tuhan yang mengetahui apakah rasanya bila kehilangan suami dan ayah kepada seorang anak yang masih kecil berusia empat tahun ketika itu.

“Namun apabila mula menerima hakikat bahawa itulah risiko yang pasti dihadapi mendiang dan demi keamanan untuk dikecapi generasi masa kini, saya dan anak telah menerima sepenuhnya ketentuan ini,” ujar Lilian yang masih terkenangkan pengorbanan suaminya.

Pengorbanan dan jasa veteran ATM dalam menjaga keamanan negara dan menentang keganasan pengganas komunis dalam era insurgensi perlu dikenang selamanya malah penghargaan kepada pejuang negara harus dizahirkan pada Sambutan Hari Pahlawan setiap tahun.

-ZS-

Tinggalkan komen anda