Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kampung Baru Pasak Dipilih Kampung Angkat MADANI Kementerian Pertahanan

By 16 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 152 buah keluarga, merangkumi anggaran 600 orang isi rumah di Kampung Baru Pasak akan menerima manfaat daripada program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang dilancarkan semalam.

Sesi sidang media.

Menurut Ketua Setiausaha (KSU) Datuk Seri Isham Ishak, MINDEF telah melancarkan 10 inisiatif khusus di Kampung Baru Pasak dengan peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Kewangan.

“Projek-projek yang dirancang termasuk pembinaan rumah baharu, penambahbaikan infrastruktur asas, peningkatan kemudahan awam seperti jalan raya dan sistem bekalan air.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk dan dengan inisiatif ini, MINDEF berharap dapat membangunkan Kampung Baru Pasak sebagai model pembangunan luar bandar yang mampan dan inklusif selaras dengan matlamat Program Kampung Angkat MADANI,” ujarnya di majlis perasmian, di sini semalam.

KSU MINDEF mendengar taklimat yang disampaikan oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Kota Tinggi.

Antara projek-projek yang dicadangkan adalah pembinaan balai raya, pintu gerbang, surau dan dua unit pusat komuniti selain menaik taraf jalan kampung dan pemasangan lampu solar yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2024.

Sepanjang lawatan, KSU MINDEF menerima taklimat daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi Ahmad Nazir Mohd Nasir, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Kota Tinggi Mazman Mohamad. Beliau turut dibawa melawat beberapa tapak cadangan projek pembangunan di sekitar kampung.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Ismail Abu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MINDEF Datin Roszanina Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Norlizah Noh dan ADUN Sedili Muszaide Makmor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda